Pada malam hari Khamis 6hb April, saya telah menonton satu filem Cina di RTM TV2,
Sedang seronok mengikuti cerita itu, saya dikejutkan oleh adegan yang pada saya, menghina agama Islam.
Adegannya seperti berikut. 6 orang sekawan, 3 orang berpakaian jubah dan berselendang seperti orang Arab, 2 orang berpakaian tentera sebagai pengawal peribadi dan seorang wanita sebagai penterjemah.
Mereka datang berjumpa dengan ketua samseng untuk menjual senjata. Sebagai 'orang Arab', mereka tidak boleh bercakap bahasa Cina. Tetapi akibat kecuaian, salah seorang yang berjubah, telah tercakap satu perkataan Cina.
Ketua samseng kehairanan dan mula mengesyaki sesuatu. Mujur pada masa yang sama, jam berbunyi menandakan pukul 3.
Dan bagi melindung kesilapan mereka, 'orang-orang Arab' itu terus melakukan penyembahan. Penterjemah menerangkan, mereka sedang bersembahyang, dan perlu bersembahyang 3 kali sehari yang memakan masa 1 - 2 jam.
Ketua samseng kehairanan sekali lagi apabila mereka itu tidak mengadap arah Mekah. Penterjemah memaklumkan mereka itu dari puak yang menentang arah Mekah semasa bersembahyang.
Itulah keterangan berkenaan adegan yang mengejutkan saya. Terkejut kerana ianya ditayang di RTM, media kerajaan Islam Hadhari. Terkejut kerana RTM yang kini berusia 60 tahun, masih tidak tahu perkara-perkara sensitif kepada rakyat Malaysia, seperti isu keagamaan dan perkauman.
Adakah kejadian ini disebabkan oleh kelalaian pihak penapis filem di RTM? Atau RTM menyangkakan adegan itu satu jenaka ringan?
Jika manusia berusia 60 tahun, dia sudah dianggap veteran, matang dan mempunyai banyak pengalaman yang boleh dijadikan tempat rujukan. Tetapi amat berbeza 60 tahun RTM yang masih lagi tidak tahu mana baik buruknya.
Kerana kekecewaan, saya terus menukar ke siaran lain.
No comments:
Post a Comment