Saturday, March 15, 2008

Malaysia terlalu banyak perancangan tetapi gagal pelaksanaan

Jumaat, 31 Mac 2006, terlakar satu lagi dalam lipatan sejarah Negara, pembentangan RMK9, oleh YAB PM Malaysia buat kesekian kalinya, bertindih dan bertindan dengan dasar-dasar yang lain, untuk mamacu Negara dan memperkasa ekonomi bumiputra yang sudah tentu akan digunakan semahunya untuk menimbun kekayaan oleh kelompok dan suku sakat tertentu, padahal masyarakat bumiputra lain terus terhenyak macam biasa.

Malah ada yang mendakwa 80 % peruntukan besar ini akan berlegar dikalangan orang yang sama, bagai skim cepat kaya untuk mengaut keuntungan, siapa cepat, siapa dekat, dia dapat.

Berbagai dasar dan rancangan, Dasar Wawasan Nasional, (2001-2020), Wawasan 2020 (1991-2020), Rangka Rancangan Jangka Panjang (2002-2020), Plan Dasar Industri ( Industrial Master Plan), dan terakhir Misi Nasional (2006-2020), akan berjalan bersama untuk membangunkan Negara, berjalan serentak , dan dilancarkan oleh mereka yang bernama Perdana Menteri, tidak tahulah mana satu yang akan membawa kejayaan cemerlang.

Inilah yang dinamakan over planning, di dalam keadaan Malaysia mempunyai oversized cabinet, yang mempunyai pelbagai jenis Jawatankuasa Kabinet dalam segenap segi, dengan penubuhan pelbagai jenis Suruhanjaya bagi menghadapi segala insiden.

Sudah tentu ini akan mengakibatkan overspending terhadap pengurusan kepada berbagai dasar yang bersimpang siur tadi sehinggalah kepada kecelaruan dalam mekanisma pelaksanaannya.

Kejayaan dan kegagalan DEB (1971-1990), dibincang hebat di dalam seminar dan simposium, apa yang jelas adalah ianya berjaya melahirkan sekelompok jutawan Melayu yang hanya boleh digelar Kroniputra. Mengikut laporan Lembaga Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu, UNDB, dan UNESCO, antara kejayaan besar DEB adalah menghapuskan kemiskinan tegar dikalangan rakyat, tetapi wujud jurang pendapatan yang sangat besar antara kaum dan dikalangan kaum dan Malaysia adalah merupakan Negara yang paling teruk di Asia Tenggara. Jurang yang sangat besar diantara negeri di Pantai Timur dan Barat. lalu terbentuklah dual ekonomi yang sangat ketara..Terutama negeri-negeri Malay belt yang masih mundur.

Kenaikan harga minyak

Kenaikan harga minyak, mengakibatkan kenaikan harga barang, memang sukar untuk dielak dan dinafikan, terpaksa dirasai oleh semua rakyat, adalah akibat daripada pengurangan subsidi, sejumlah 4.4 billion ringgit akan terkumpul setahun, kalau 5 tahun sepanjang RMK 9 ini , berjumlah 22 billion. Cukup besar. Ini akan dikumpul dalam KWAPA.

Apa yang rakyat nak tahu, apakah jumlah itu akan dapat dinikmati oleh rakyat diseluroh negara. Apakah nereka yang berada nun diceruk negara akan sama-sama merasa hasil pemotongan subsidi minyak mereka, atau hanya mereka yang menaiki monorel, LRT, rapid KL atau keretapi sahaja. Atau sebagai habuan untuk kroni terdekat mengaut tabung tersebut?. Scomi engineering, untuk baikpulih gerabak keretapi, SPNB untuk buat badan bas, siapakah di belakang syarikat ini . ?.

Negara maju

Malaysia akan menjadi Negara Maju pada 2020, ciri-ciri untuk Negara maju adalah pendapatan per kapita saperti Jepun dan Amerika iaitu USD 30 hingga 40 ribu, manakala Malaysia hanya USD 10 ribu pada 2005.

Ia telah naik 100% sejak 15 tahun lalu ( 1990 USD 5284). Ini bermakna untuk tempoh 15 tahun lagi menjelang 2020, Malaysia perlu menaikkan GDP sebanyak 200%, dari USD 10 ribu ke USD 30 ribu, barulah kita boleh mencapai ciri-ciri Negara maju tersebut. Itu pun ciri Negara maju pada tahun 2005, kalau 2020, mungkin terpaksa naik lebih lagi. Apakah ini dapat dicapai.

Kalau kita lihat dalam tempoh RMK7 (1996-2000) , GDP Negara mencatat purata 4.8 peratus, ia menurun kepada 4.5 % pada RMK8 ( 2001-2005), jadi untuk membolehkan Malaysia mencapai Negara maju pada 2020, GDP Negara perlu dipacu sekitar 9 % setahun. Kerajaan menjangkakan GDP Negara pada RMK9 ini adalah sekitar 6 %, Ekonomist bank dunia menjangkakan 2006 5.5 %, 2007 5.7 %, jika begitu apakah impian kita untuk menjadi Negara maju menjelang 2020 sesuatu yang realistic atau hanya impian kosong. Ataukah lebih baik kita pacu kearah �distributive justice�, keadilan pengagihan kekayaan.

Bagi mengurangkan jurang perbezaan timur dan barat ini diharap apabila dasar biodiesel dilaksanakan, limpahan yang bakal wujud tidak mengabaikan koridor timur ini kerana kawasan yang luas untuk dijana sumber bahan mentah memproses biodiesel ini, maka perusahan huluan dan hiliran perlu dibangunkan disana agar limpahan itu tidak hanya bertumpu dibarat, jika tidak, sampai bilapun kita tidak akan mendapatkan titik pertemuan kepada system dual ekonomi ini, ia akan terus selari sehingga bila-bila. Begitu juga dengan penemuan 8 trilion meter padu gas di perairan pantai Kelantan, sepatutnya dinaikkan di pantai Kelantan, bukan di Songkla yang sudah tentu lebih jauh dan pasti akan menguntungkan Negara luar.

Kita tidak mahu kegagalan yang melewati 15 tahun dalam mencapai sasaran 30 % equiti bumiputera dalam DEB terus berlaku diakhir RM 9 nanti , dimana diketika itu kita akan sekali lagi terkial-kial didalam mencari dimana punca kegagalannya. Maka apabila tiba tahun Malaysia Maju 2020 pun equiti bumiputeri masih berada di takuk ini juga. Padahal segelintir saja jutawan Melayu yang mampu dilahirkan, itu pun hanya berkitar di sekeliling penguasa sahaja. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa merupakan punca kepada kegagalan ini. Badan pemantau, ombudsman, BPR diharap jangan hanya menjadi pemanas tempat duduk saja.

Modal insan

Modal insan, begitulah nama diantara salah satu teras yang akan diperkasakan oleh kerajaan dalam RMK9 ini, memang telah lama dibentangkan oleh PAS didalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara dalam tahun 1989 lagi, tetapi tidak diberi perhatian oleh kerajaan. Setelah DEB tidak mencapai sasaran, barulah dimasukkan teras modal insan , menggantikan nama pembangunan insane, yang pernah dibentang oleh PAS. Terima kasihlah.

Doktor buat locum

Kebenaran kerajaan yang diberikan kepada doktor di hospital awam untuk melakukan locum di hospital atau klinik swasta mungkin akan memberikan sedikit berita gembira kepada mereka, tetapi perhatian harus diberikan kepada kaedah bagaimana ianya akan dilaksanakan.

Alasan menyatakan mereka boleh melakukan locum selepas waktu pejabat, atau semasa tidak bekerja, atau semasa cuti perlulah diperhalusi. Seseorang doktor, baik biasa atau berkepakaran, terutama dalam bidang klinikal dan melibatkan pembedahan, sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang berat kalau bekerja dihospital/klinik kerajaan, kebiasaannya mereka perlu menggunakan masa yang lebih untuk menghabiskan pesakit/ konsultasi sehingga ada yang terpaksa berada di klinik sehingga jam 8.00 malam.

Apakah kemungkinan follow up ini tidak dilakukan di luar atau di klinik swasta dimana mereka bakal melakukan locum, atau pesakit luar yang dilihat di klinik swasta tidak boleh dirujuk kepadanya sendiri untuk dilakukan procedure tertentu, ujian tertentu atau sebagainya saperti X ray, ujian darah, sebelum dirujuk kembali untuk dirawat di klinik swasta dimana dia menjalankan locum?.

Diharap ini dapat diberikan perhatian serius jika kaedah locum ini dilaksanakan. Begitu juga dengan hospital kerajaan yang mempunyai wad swasta, saperti di UKM. Sudah tentu perhatian yang lebih dan jitu terpaksa diberikan kepada wad swasta daripada wad awam yang dikendalikan oleh seseorang pakar kerana mereka membayar, apa akan jadi kalau berlaku kecemasan serentak diwad swasta dan wad awam, kemanakah doctor ini akan berlari, padahal dia sama-sama mengendalikan kedua-dua pesakit tersebut? Bezanya satu bayar dan satu lagi tidak?.

Kalau kita teliti jawapan daripada menteri pelajaran semasa menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agung bagi Kementerian Pelajaran, beliau menyatakan 93 % pelajar Melayu menuntut di sekolah kebangsaan, 93 % pelajar Tionghwa belajar di SJKC, dan 99.7 % pelajar India belajar di SJKT. Itu dalam usia negara merdeka hampir 50 tahun, Saya tidak pasti apakah statistik ini akan dapat diubah untuk 15 tahun akan datang?

Malaysia sudah merdeka hampir 50 tahun , pelbagai kaedah dibuat untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum. Pelbagai pengorbanan telah dibuat dan diberikan, tetapi perpaduan yang utuh dikecapi oleh rakyat masih belum memuaskan, dimanakah silapnya, penyatuan melalui persekolahan diutarakan sudah sekian lama, pengorbanan demi pengorbanan sudah diberikan, dan kita tidak mahu lagi satu demi satu hak dan kepunyaan kita hilang demi atas nama perpaduan ?.

Kerana inginkan sekolah kebangsaan diperdanakan, maka tulisan jawi kita sudah terpinggir suatu ketika dulu, sehingga kini pun ramai golongan dewasa kita yang merangkak untuk membaca jawi, bila tidak cekap membaca jawi, sudah tentu mereka tidak cekap membaca al-quran dan hadis, kini timbul pula peraturan pemakaian tudung keatas pelajar perempuan sebagai tidak lagi menjadi kewajipan walaupun pelajar itu beragama Islam (perempuan), hanya digalakkan, adakah ini juga antara alasan inginkan sekolah kebangsaan diperdanakan supaya pelajar lain, bukan Islam sudi belajar disana, bahkan ada Menteri yang sanggup mengesyorkan supaya pelajaran agama ditiadakan disekolah kebangsaan dan hanya diajar disekolah agama atau diluar waktu sekolah biasa.

Rukun Negara pertama, Kepercayaan kepada tuhan, bagi orang Islam bermakna iman kepada Allah, ikrar dgn lidah, dibenarkan dgn hati, amalan dgn peraturan, peraturannya adalah tutup aurat, jelas terdapat dalam al quran. .


Kita tak tahu apakah lagi pengorbanan yang harus kita buat dalam usaha memperdanakan sekolah kebangsaan kita ini dimasa yang akan datang. Apakah surau yang ada disekolah kebangsaan pula akan ditiadakan selepas ini? semata�mata atas hasrat golongan tertentu yang ingin menjadikan sekolah kebangsaan disukai oleh semua kaum dan bangsa.

Kita juga tidak mahu dengan adanya pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan nanti, apa pula matapelajaran yang akan dikorbankan, kerana masa untuk belajar tetap sama, tetapi jumlah matapelajaran ditambah, sudah tentu ada matapelajaran yang terpaksa menjadi mangsa korban, sebagaimana yang disuarakan oleh salah seorang menteri kabinet suatu ketika dulu. Kita tidak mahu perkara ini terjadi. Atau apakah ibubapa terpaksa menghabiskan 4 bilion ringgit lagi tahun ini sebagai belanja tuisyen demi kecemerlangan pendidikan anak mereka sama saperti tahun lalu.?

Dahlah anak-anak kita di kampong dan luar Bandar merangkak sekarang ini mempelajari Sains dan Methametik dalam bahasa Inggeris, membebankan dan merugikan saperti kenyataan Prof Shahril Mohd Zain, bekas Prof mathematic UKM, saya bimbang mereka ini akan lebih pening kalau dibebankan pula dengan Mandarin dan Tamil. Memang tak salah mempelajari bahasa asing, kita boleh menambah ilmu pengetahuan, hadis nabi ada menyebut, sesiapa mempelajari bahasa sesuatu kaum, dia akan bebas dari tipu daya mereka, tetapi janganlah kita jadikan itu satu bebanan untuk mereka lulus periksa atau sebagai ujian kecemerlangan mereka

Bahasa untuk Ilmu berlainan daripada bahasa untuk perhubungan. Jepun, Perancis, Itali, Cina, Korea Selatan, tidak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu untuk seluruh rakyat negaranya, kalau kita hendak ke Jepun kita kena belajar Bahasa Jepaun, begitu juga Perancis dan sebagainya, tetapi jenama Toyota, Mercedes, BMW, Fiat, Nissan, Mitsubishi, VW, Porshe, Citreon, Peugeot memenuhi jalanraya dan lebuhraya seluruh Dunia. Apakah mereka ini tidak tahu bahasa inggeris, kedutaan mereka ada dimerata dunia, hubungan perniagaan mereka meresapi segenap rumah setiap penghuni dunia, apakah disekolah rendah mereka penuh dengan buku-buku dalam bahasa inggeris.

Kita takut nanti, 5 atau 10 tahun, ilmu tak dapat, bahasa sendiri lingkup macam yang terjadi kepada Utusan Melayu, drp harian jadi mingguan, terus lingkup. Pakar dah berbuih manasihat, tetapi kita rasa kita yang lebih pandai. Cikgu yang mengajar lebih tahu dari statistic yang dibentangkang setiap kali selepas peperiksaan, apakah muridnya memang pandai atau garis lulus diturunkan. Hakikat ini dapat dilihat bila ramai daripada mereka yang kantul apabila berada di IPTA atau IPTS.

Dalam memperkasakan bangsa agar mencapai masyarakat kelas pertama berminda kelas pertama, kita berharap media cetak dan elektronik memain peranan yang positif dalam membentuk masyarakat, disamping kementerian terbabit menggunakan kuasa yang ada untuk memantau serta memandu dengan penilaian agama dan moral , kita tika mahu masyarakat kita maju, tetapi anak muda kita hamcur, IQ tinggi, tetapi SQ mereka runtuh, nilai agama hilang. Nilai moral mereka lebur. Kerana mutakhir ini kita dapati banyak program yang dihidangkan kepada masyarakat lebih kepada hiburan dan semata-mata melekakan. Begitu juga dengan trend artis yang menjadi idola remaja, lebih barat dari timur, dengan fesyen yang mendedahkan dan hilang identiti Kemelayuan bahkan jauh sekali identity Keislaman. Ini sudah tentu akan menjadi ikutan , dengan fesyen yang melebihi artis barat.?

Apakah amaran mufti Perak dengan angka 250 ribu orang Islam memohon menjadi murtad tidak menakutkan kita???. Program-program hiburan dan konsert sudah kembali meriah dan menjadi program mingguan sekarang ini, kita bimbang remaja akan sekali lagi hanyut dan hilang identity bangsa, bagaimana pada 2010 atau 2020 nanti kita akan menjadi masyrakat minda kelas pertama??. Siapa menjadi pemenang dalam jumlah penagih teramai, dalam memenuhi pusat serenti, dalam memenuhkan kuata pengidap AIDS, kita tidak mahu Negara maju tapi bangsa dan agama hanyut. Islam hanya tinggal nama.

Basmi kemiskinan

Mambasmi kemiskinan tegar menjelang 2010, kita alu-alukan dan sokong, kemiskinan merupakan masalah tanpa sempadan agama bangsa dan politik, hadis Rasulullah,

Pengkajian semula garis kemiskinan perlu dilakukan segera, bezakan kemiskinan Bandar dan luar Bandar .Rm 10,000.00 sudah tidak sesuai lagi sekarang ini. Meningkatkan garis kemiskinan ini sudah tentu menjadikan peratus kemiskinan meningkat lagi, dan kita bimbang target 2010 untuk membasmi kemiskinan tegar ini tidak terlaksana kerana pengalaman lampau banyak mengajar kita semua tentang bahaya Ketirisan didalam usaha membantu golongan miskin. Ini perlu dihapuskan, karenah birokrasi dan berbagai peraturan rumit perlu dimudahkan, tandatangan orang itu dan orang ini wajar dikaji, ketelusan didalam usaha membantu perlu dijadikan amalan, barulah kita boleh mencapai hasrat murni ini.

Orang PAS ada miskin, orang UMNO tak juga semua kaya, Cina , India dan lain-lain bangsa di Sabah dan Serawak juga miskin, tetapi saya ragui apabila pejabat TEKUN berada didalam pejabat UMNO, nak dapat pinjaman TEKUN mesti isi borang jadi ahli UMNO, ini berlaku ditempat saya., di Pendang.

Didalam teras pertama, RMK 9 berhasrat untuk meningkat nilai ditambah dalam ekonomi Negara, salah satu diantaranya adalah pertanian dan perkhidmatan. Malaysia pada masa kini sedang sibuk melakukan rundingan kearah menandatangani FTA dengan beberapa buah Negara termasuklah USA. Kita mendesak supaya kerajaan lebih berhati-hati dalam soal ini, parlimen perlu diberi maklum dan perbahasan sepatutnya bermula disini agar segala terma dalam perbincangan diperhalusi. Kita tidak mahu apa yang berlaku saperti perjanjian Malaysia Jepun, yang banyak merugikan negara kita.

Negara saperti Bolivia, Brazil, Venezuela, menolak perjanjian ini, bahkan Australia , setelah berunding kali ketiga baru terima perjanjian tersebut. Itupun sudah mengalami kerugian berbanding USA. Eksport gula tidak bertambah walau sesudu, eksport daging hanya bertambah � ekor lembu setiap penternak setahun.

Di USA, perjanjian FTA dengan Negara luar dibincang dalam congress, tetapi di Negara kita setelah selesai perjanjian pun, parlimen masih belum membincangkannya.

Kita amat bimbang kesan yang bakal dihadapi oleh rakyat Negara ini menyebabkan USA akan mengeksport lebih banyak hasil subsidi mereka ke Malaysia, saperti soya, ayam , daging.

Pengalaman Mexico lepas NAFTA, petani jagung , tidak lagi tanam jagung kerana import drp USA meningkat 3 kali ganda. 2 juta petani tinggalkan ladang. Sekarang Mexico import 99 % soya bean, 80 % beras . Barangan pertanian USA akan masuk dgn murah, petani kita akan hilang pekerjaan, nak eksport, tariff dan subsidi USA menyebabkan barangan kita tidak lagi kompetetif.

Perjanjian ini dijangka akan mendatangkan banyak kesan buruk terhadap berbagai industri kita, petani, pekerja, pengguna pasti akan tertekan.

No comments: