Saturday, March 15, 2008

Ada agenda lain di sebalik isu gunting tudung pelajar

Isu guru displin 'mengunting' tudung 65 pelajar Sekolah Menengah Teluk Sentang yang melanggar peraturan sekolah baru-baru ini bukanlah isu yang harus diperbesarkan.

Ramai berpendapat tanpa campur tangan pihak tertentu, isu berkenaan hanyalah isu terpinggir dan dalam kawalan pihak sekolah.

Ia tidak lebih daripada isu biasa, iaitu isu usaha pihak sekolah untuk mendisplinkan pelajarnya yang bermasalah.

Siasatan Harakahdaily mendapati, sekolah berkenaan sebelum ini sememangnya menghadapi masalah displin yang serius dan usaha mendisplinkan pelajar telah dan sedang giat dilakukan oleh guru-guru sekolah berkenaan.

Keseriusan masalah displin di sekolah berkenaan dapat dilihat dalam isu 'khalwat' yang membabitkan seorang pelajar (perempuan) tingkatan satu dari sekolah berkenaan yang ditangkap berkhalwat didalam asrama tidak lama dulu. Bagaimanapun isu tersebut tidak dihebohkan.

Ia berbeza dengan isu 'gunting' tudung ini, apabila ada campurtangan pihak tertentu yang tidak senang dengan individu guru tertentu di sekolah berkenaan. Wal hal sebahagian besar ibu bapa bersetuju dan tidak membantah usaha yang dilakukan oleh guru dalam usaha mereka meningkatkan displin pelajar.

Tingkatkan disiplin

Difahamkan pihak sekolah telah melakukan banyak perubahan dalam usaha membentuk peribadi pelajar seperti memperkenalkan solat berjamaah disertai sama guru-guru disekolah tersebut.

Menurut sumber, insiden gunting tudung bermula apabila guru displin membuat pemeriksaan terhadap pakaian pelajar dan mendapati kira-kira 65 orang pelajar perempuan gagal mematuhi tatacara pemakaian tudung seperti yang ditetapkan pihak sekolah. Ini menyebabkan guru mengambil tindakan keras dengan 'menggunting' sebahagian kecil daripada tudung.

Jelas sumber tersebut, pada awalnya semua pelajar perempuan sememangnya mematuhi tatacara pemakaian tudung iaitu memakai tudung labuh (menutup bahu) sebagaimana diarah pihak sekolah. Bagaimana terdapat sebahagian kecil pelajar membantah.

Mereka dikatakan telah mengubahsuai fesyen tudung mengikut cita rasa mereka sendiri.

Difaham terdapat pelajar telah mengubah suai tudung mereka beberapa hari sebelum kejadian, malah ada saksi yang mengatakan pelajar berkenaan mengunakan lilin untuk mengemaskan bahagian tudung yang diubahsuai itu.

Reaksi keterlaluan

Menurut sumber itu lagi, reaksi keterlaluan seorang bapa pelajar yang bertindak mencari guru displin disekolah adalah keterlaluan dan didorong oleh sentimen yang tidak sepatutnya. Bapa pelajar terbabit bukan sahaja melanggar displin seperti anaknya tetapi bertindak ala samseng pula!. Ia bukan sifat yang baik bagi seorang bapa.

Seorang penduduk asal kampung Teluk Sentang memberitahu penulis, beliau mengenalpasti terdapat beberapa perkara yang telah ditokok tambah dalam laporan media eletronik tentang insiden tersebut malah, sumber terbabit memberitahu, guntingan tudung oleh guru displin tidak seteruk yang digambarkan oleh media.

Ini jelas, ada pihak menggunakan isu tersebut dengan niat dan tujuan tertentu, malah sumber berita media itu adalah seorang warga asing yang hanya berstatus penduduk tetap!.

Penduduk tempatan sememangnya mengetahui status keluarga penduduk tetap tersebut dan bagi mereka media wajar membuat siasatan sebelum mengambil kenyataanya kerana ia boleh menjatuhkan krebiliti media tersebut.

Harakahdaily cuba mendapatkan ulasan pihak sekolah tetapi gagal kerana pihak yang dihubungi enggan memberikan sebarang penjelasan.

Sudah cukup masalah

"Masalah saya ialah laporan media, tolong jangan susahkan saya lagi," katanya.

Setakat ini pelbagai pihak telah memberikan pendapat dan reaksi masing-masing termasuklah Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak, Menteri Pelajaran, Dato' Hishamuddin Husein dan sebagainya.

Bagaimana pun pendapat mereka dipercaya adalah hasil daripada media semata-mata, tetapi tetap ingin memberi pandangan apabila ditanya oleh media.

Hasil daripada laporan media yang boleh dipertikaikan itu akan menghasilkan pandangan yang serong, prejudis dan tekanan kepada guru, kata sumber itu.

"Kesan yang pasti ialah guru terbabit akan menerima kesan psikologi hasil laporan berterusan media manakala pelajar akan menghadapi masalah besar apabila guru-guru tidak lagi akan memberi penumpuan terhadap displin pelajarnya. Yang rugi ialah pelajar yang serius dalam pelajaran mereka manakala pelajar yang nakal akan bermaharaja lela kerana mereka sedang dibela oleh ibu bapa dan pihak tertentu," kata sumber itu lagi.

Ia telah menjadi suatu kecenderungan masa kini, pembelaan yang tidak kena pada tempatnya!.

No comments: