Sunday, April 6, 2008

Hanya selepas Dr M tidak berkuasa baru Nazri berlagak jantan

Antara pemimpin Umno yang duduk dalam kabinet hari ini yang terkenal dengan ucapan biadap dan kasar adalah Nazri Aziz, bekas Naib Ketua Pemuda Umno yang mendapat tempat dalam arus perdana Umno hasil jasa Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkuasa dahulu.

Malaysiakini (semalam) menyiarkan berita terkini dari lobi Dewan Rakyat dengan tajuk: "Be a Jantan, quit Umno". (Dan hari ini semua akhbar menyiarkan kenyataan Nazri itu sedangkan majlis syarahan awam dan dialog bersama Tun Mahathir, 24 Jun lalu digelapkan oleh semua akhbar berkenaan).

Nazri yang juga Menteri di JPM diberitakan kesal dengan sikap Tun Mahathir yang sejak akhir-akhir ini banyak mengkritik kerajaan. Beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa jika Tun berhasrat berlagak bagaikan seorang ahli pembangkang maka lebih baik beliau menjadi seorang jantan dan meninggalkan sahaja Umno!

Beliau turut berkata: " Orang tua berusia 81 tahun mahu bergaduh dengan anak muda berusia 31 tahun. Carilah orang yang sebaya dengan anda. Hanya kerana marahkan seorang ahli politik muda, Tun mahu bakar sebuah negara."

Benarlah kata Tun Mahathir pada hari Sabtu lepas bahawa Abdullah Badawi sebagai PM sekarang tidak perlu membuka mulut apabila dikritik. Yang akan melenting dan melompat bagi pihak beliau adalah CHORUS DANCERS nya seperti Nazri ini.

Nazri semasa Tun berkuasa dahulu adalah antara yang gagah berdiri memuji dan memuja Tun di mana-mana sahaja. Kini apabila Tun sudah tidak berkuasa, maka Nazri antara yang ghairah memukul dan mengeji Tun.

Benarlah lagi sebagaimana kata Tun: "Sekarang saya sedar sokongan itu (di kalangan ahli-ahli kabinetnya dahulu) tidak bererti. Sekarang saya tahu mereka sokong (saya dahulu) sebab saya Perdana Menteri."

Maknanya bila dah tak jadi PM inilah padahnya yang terpaksa Tun pikul dan yang barangkali Dollah juga perlu pikul satu hari nanti.

Yang hairannya rupanya bukan sekadar Dollah malah Khairy Jamaluddin yang Tun umpamakan bagai "budak belum kering hingus" pun tak perlu membela diri kerana akan ada gurkha seperti Nazri yang akan melonjak mempertahankan beliau apabila peribadi beliau disentuh.

Saya yakin rakyat Malaysia sedang memerhatikan perkembangan ini dengan penuh teliti. Inilah pendirian dan sikap pemimpin yang telah berjaya kita lahirkan setelah merdeka lebih setengah abad.

Kata Tun lagi: "Sekarang ini saya fikir (kabinet yang ada) sudah tidak ada kualiti."

Jawablah tuduhan dan kritikkan orang tua itu, tak perlulah menghina dan memijak-mijaknya. Kami yang tak pernah kasih dan cinta pada Tun sebagaimana Nazri pun rasa tidak selesa membaca kenyataan ini. Mengapa harus biadap dah kurang ajar sedangkan kita mendapat tempat atas ihsan dan belas orang tua ini juga.

Kita tahu rahsia Nazri dengan Tun, itu kisah lama, tapi janganlah tunggu bila orang tua tu dah tak bertaring, tak berkuasa baru nak jadi jantan dan terajangnya sehingga tersungkur, itu perangai betina perangai bacul bukan jantan namanya!

Maksiat di kampus mengejutkan, 10,000 kes setahun!

Dalam pada kita heboh berbahas berkenaan 'Moral Policing' serta perlakuan sumbang dan lucah di khlayak ramai, dengan takdir Allah SWT terkeluar pula satu angka baru yang sungguh memeranjatkan dan seharusnya menjadi iktibar kepada kita semua.

Menurut Berita Harian: "KHALWAT dan berdua-duaan adalah kes yang paling tinggi dikenakan tindakan tatatertib mengikut Akta Universiti dan kolej Universiti (Auku) 1971.

"Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Dr Adham Baba, berkata sejak 1971 hingga awal tahun ini sebanyak 381,735 kes membabitkan khalwat dan berdua-duaan dikenakan tindakan tatatertib."

Bermakna sepanjang tempoh 35 tahun iaitu dari 1971 sehingga 2006 terdapat 381,735 kes maksiat ini yang dikenakan tindakan tatatertib. Itu tidak termasuk kes-kes yang terlepas pandang. Bermakna juga secara average terdapat 10, 906 kes seumpama ini setiap tahun di IPTA kita!

Ini sudah pasti melibatkan pelajar-pelajar cemerlang kerana pelajar-pelajar yang lemah tidak dapat melangkahkan kaki ke IPT. Dalam erti kata lain perlakuan maksiat ini diperlakukan oleh anak-anak yang cerdik yang berpendidikan, bayangkan bagaimana pula angkanya bagi mereka yang di luar, yang tiada peraturan dan kawalan!

Kesimpulannya isu maksiat dan kemungkaran ini sudah sampai ke tahap di luar kawalan. Maka wajarlah kita khasnya mereka yang berkuasa mengambil langkah mengawal dan menyekat perkara ini dari terus berleluasa.

Kerana itulah 'Moral Policing', pendidikan akhlak dan agama perlu diberi perhatian dan penekanan yang serius. Jika tidak maka kita akan mengundang keruntuhan bangsa dan agama kita sehingga hilanglah nilai maruah dan harga diri buat selama-lamanya.

Jangan dilayan dan diraikan mereka yang menuntut hak dan kebebasan dalam perkara-perkara yang melibatkan akhlak, kononnya mahu bebas seperti Barat, kerana ianya akan hanya meruncingkan lagi keadaan.

Apa guna kita melaung sehingga serak-serak anak tekak 'BELIA BOLEH, BELIA BOLEH' tetapi hakikatnya akhlak belia kita sedang teruk terkikis menunggu masa untuk runtuh dan ranap.