Saya menerima banyak respon dari pengunjung BLOG ini berkenaan isu kenaikkan harga minyak yang terbaru ini. Sesungguhnya isu ini isu rakyat, melata dan mengena setiap lapisan masyarakat. Yang kaya yang miskin yang berniaga yang makan gaji semuanya merasa impak kenaikkan ini samada pada skala kecil ataupun besar.Lantas kemarahan dan ketidakpuasan hati rakyat tidak boleh ditolak-tepi ataupun diperkecilkan.
Perdana Menteri Dollah Badawi mengatakan bahawa dengan kenaikkan kali ini kerajaan sebenarnya berjimat RM4.4 billion dalam bentuk pengurangan subsidi.
Kerajaan untung tetapi rakyat bagaimana?
Dengan penjimatan sebesar itu kata Dollah kerajaan akan mempertingkatkan lagi kemudahan pengangkutan awam untuk keselesaan rakyat. Bermakna penjimatan itu menurut Dollah akan dipulangkan balik kepada rakyat.
Penjelasan ini saya rasa tidak dapat merawat atau mengubati penderitaan dan keperitan rakyat hasil dari kenaikkan harga minyak yang mendadak itu ke atas penghidupan harian mereka.
Disaat ini rakyat sedang menunggu-nunggu pula impak lanjutan dari kenaikkan harga yang terbesar dalam sejarah ini. Akhbar-akhbar tempatan menyiarkan kenyataan beberapa pihak yang membayangkan terpaksa menaikkan kos masing-masing kesan dari kenaikkan ini.
Pengusaha restoran, pengusaha pengangkutan termasuk bas dan lori serta persatuan peladang-peladang sayur adalah antara pengusaha-pengusaha yang terawal menyatakan tidak lagi mampu menahan dengan menyerap kenaikkan kos ini. Malahan pengusaha-pengusaha bas sekolah yang baru sahaja mengumumkan kenaikkan tambang bas sekolah seluruh negara juga menyatakan terpaksa membuat adjustment baru dengan kenaikkan terbaru ini.
Dan Dollah mengatakan:
It is better to increase it once and if prices and other things need to be increased, too, it will also happen once.
Adalah lebih baik menaikkan harga ini sekali sahaja kerana dengan cara itu jika harga barangan lain juga perlu dinaikkan maka ia akan berlaku hanya sekali sahaja.
Jangan salahkan rakyat jika mereka mual dan loya dengan kenyataan Dollah ini. Ianya bukan terbit out of disrespect pada PM tetapi terbit lantaran rakyat melihat PM seolah hilang punca dan tidak lagi berdaya menajga dan membela kepentingan mereka.
Kata Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud kenaikkan harga minyak ini tidak langsung setimpal dengan pendapatan pekerja yang kalau pun ada sekitar menerima kenaikkan tidak lebih dari 5 peratus. Tambah beliau:
Many people feel that the Government does not care enough about the plight of workers and the general public.
Ramai beranggapan bahawa pihak kerajaan tidak berapa peduli akan nasib para pekerja dan orang awam (melalui kenaikkan harga ini).
Apa makna kos pengangkutan awam dan infrastruktur yang baik dan world standard jika rakyat papa dan melarat, mereka nanti sekadar terlopong kagum tetapi tak mampu menggunakannya kerana tekanan hidup yang terlalu berat dan membebankan.
Adakah rakyat di Sabah dan Sarawak, di luar bandar dan pedalaman juga akan menikmati limpahan dari penjimatan RM4.4 billion itu atau ianya hanya akan dijaja di sekitar Lembah Kelang sahaja?
Saya berani menyatakan kecuali pengarang akhbar-akhbar saluran perdana yang terpaksa memuji dan mempertahankan langkah kerajaan ini, tidak ada mana-mana kelompok atau individu rakyat yang mampu menerima kenaikkan harga minyak ini dengan tenang dan rela. Kerana pada asasnya kenaikkan ini adalah beban yang akan menghimpit hidup mereka walau apapun alasan yang cuba kerajaan lakukan untuk menghiburkan hati mereka.
No comments:
Post a Comment