Saturday, March 15, 2008

IPCMC: Polis ugut sokong pembangkang

PIHAK Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi kata dua kepada kerajaan, jika cadangan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) menjadi kenyataan, mereka akan bertindak untuk menyokong parti pembangkang dalam pilihan raya akan datang.

Malaysiakini mendedahkan, dalam edisi khas buletin Berita Bukit Aman, PDRM menyifatkan penubuhan IPCMC, antara lain, bertentangan dengan Perlembagaan, menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam, boleh mengakibatkan anarki dan menghakis pengaruh politik parti yang memerintah.

Edisi khas itu yang bertajuk �IPCMC � Kuasa Yang Tidak Boleh Dicabar?� turut disiarkan dalam laman web rasmi PDRM. Ia mengandungi 12 bab yang meliputi latar belakang IPCMC, dialog antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan pihak PDRM dan sebab-sebab mengapa PDRM membantah penubuhan IPCMC.

Suruhanjaya Diraja Polis yang ditubuhkan oleh pihak kerajaan bagi menambahbaik pasukan polis telah mengemukakan 125 syor. Antara yang amat ketara ialah syor ke-12, iaitu membentuk satu mekanisme penyemakan yang bebas atau dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Syor berkenaan kemudiannya disambut positif oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun ia segera disanggah oleh beberapa pihak berkepentingan dalam polis.

Menurut laporan malaysiakini lagi, buletin itu juga memetik Pengerusi Persatuan Pegawai Kanan Polis Yang Diwartakan (PPKP/CPW), ACP Jamaludin Khalid sebagai berkata, cadangan penubuhan IPCMC itu telah menimbulkan sentimen dan reaksi negatif di kalangan anggota polis.

Beliau mengingatkan, jika IPCMC ditubuhkan, pasukan polis akan mengundi menyokong pembangkang dalam pilihanraya umum yang dijadualkan pada 2009, dan akan meminta pembangkang �memperjuangkan hak-hak polis di Parlimen".

Katanya, pihak polis juga kecewa kerana Kementerian Keselamatan Dalam Negeri berdiam diri.
Jamaludin mengingatkan lagi, jika IPCMC ditubuhkan, pegawai tinggi polis akan meletakkan jawatan, anggota polis bekerja mengikut masa dan menuntut kerja lima hari seminggu, lapan jam sehari.

Selain PDRM, beberapa ahli Parlimen Umno turut membantah keras cadangan tersebut, walaupun Perdana Menteri telah memberi lampu hijau penubuhannya. Manakala pihak pembangkang dan badan-badan sivil lain mahu ianya ditubuhkan segera.

Kerajaan kemudiannya menyatakan, pihaknya juga sedang menimbang menubuhkan badan �ombudsman� untuk memantau agensi-agensi penguatkuasa kerajaan. Bagaimanapun badan-badan sivil, dalam reaksi mereka berkata, kerajaan tidak sepatutnya menubuhkan ombudsman bagi menggantikan IPCMC.

Suruhanjaya tersebut disyorkan ditubuhkan pada bulan Mei, tetapi sewaktu sidang Dewan Rakyat berakhir pada 11 Mei lalu, pihak kerajaan tidak dapat membentangkan rang undang-undang penubuhan IPCMC.

Bagi saya, isu ini wajar didebatkan secara serius.

Untuk itu, untuk rujukan awal, elok diteliti semula cadangan asal yang dikemukakan suruhanjaya diraja polis, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah:

"Satu cara yang berkesan untuk memastikan doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur dipatuhi dan dilaksanakan adalah dengan penubuhan badan penyemak luar. Kaedah ini telah diterima pakai oleh banyak sistem kepolisan moden kerana berdasarkan pengalaman mereka mendapati bahawa mekanisme dalaman semata-mata tidak mencukupi, tidak boleh dipercayai, dan seringkali tidak berkesan.

"Budaya polis biasanya tertutup, memandang ke dalam dan cara pemikiran juga sukar berubah. Perubahan kepimpinan akan membawa perubahan komitmen demi kecemerlangan perkhidmatan, disiplin dan prestasi. Masyarakat tidak boleh berharap semata-mata pada mekanisme dalaman untuk memastikan PDRM melaksana dan mematuhi undang-undang dan peraturan dengan berkesan.

Penubuhan agensi penyemak luar untuk PDRM merupakan perkembangan yang sangat penting dalam pentadbiran organisasi ini. Penubuhan agensi ini menandakan satu langkah ke depan dalam meningkatkan akauntabiliti, membantu mengembalikan serta mengekalkan kepercayaan orang ramai dan sektor swasta terhadap PDRM.

"Suruhanjaya telah mengkaji beberapa model badan penyemak luar dengan memberi tumpuan khusus pada mekanisme yang dibentuk di negara-negara Komanwel kerana persamaan tradisi undang-undang dan pengalaman. Di samping itu mekanisme operasi di negara bukan Komanwel juga turut dikaji.

"Antara sistem yang dikaji adalah seperti berikut: Suruhanjaya Bebas Pengaduan Polis United Kingdom; The New South Wales Ombudsman (bidang semakan merangkumi semua institusi awam dan bukan sahaja polis) dan Suruhanjaya Integriti Polis New South Wales; Suruhanjaya Jenayah dan Salah Laku Queensland, Australia; Cadangan Suruhanjaya Bebas Pengaduan Polis Hong Kong SAR.

"Selepas menimbangkannya, Suruhanjaya Diraja mencadangkan penubuhan sebuah badan bebas penyemak luar yang dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) dengan ciri yang disebut di bawah:

TUJUAN: PCMC hendaklah menjalankan pemantauan terhadap PDRM, dan melaksanakan fungsi fungsi berikut:

- Menerima dan menyiasat aduan mengenai PDRM dan anggotanya
- Mencegah, mengesan dan menyiasat amalan rasuah dan salah laku yang serius dalam PDRM
- Mencadangkan langkah-langkah bagi meningkatkan integriti polis, mengurangkan salah laku serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Terma �salah laku� juga meliputi amalan rasuah polis, perlakuan kesalahan jenayah dan ketidakpatuhan kepada undang-undang dan peraturan polis.

STATUS: IPCMC hendaklah menjadi badan bebas yang ditubuhkan menurut Akta Parlimen. Pindaan hendaklah juga dibuat terhadap seksyen yang berkaitan dalam Akta Polis 1967 untuk memperuntukkan fungsi IPCMC. IPCMC tidak akan mengambil alih atau mengatasi organisasi sedia ada seperti BPR atau SUHAKAM; sebaliknya akan saling melengkapi organisasi tersebut. Ia akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan Bahagian Tatatertib PDRM. IPCMC hendaklah diperuntukkan dengan kakitangan yang mencukupi agar dapat berfungsi dengan berkesan.

KOMPOSISI:
IPCMC hendaklah terdiri daripada tujuh Pesuruhjaya yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Tempoh perkhidmatan mereka terhad kepada tiga tahun sahaja. Ahli tidak boleh terdiri daripada pegawai polis yang sudah bersara atau yang sedang berkhidmat.

LAPORAN TAHUNAN KE PARLIMEN: IPCMC hendaklah mengemukakan laporan tahunan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dibentangkan di Parlimen. Satu salinan laporan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Perdana Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.

KUASA: IPCMC hendaklah mempunyai kuasa-kuasa berikut :

- Untuk menerima aduan daripada orang awam mengenai dakwaan salah laku polis;
- Untuk menentukan sama ada hendak menyiasat sendiri aduan tersebut atau bersama agensi lain;
- IPCMC boleh mengambil inisiatif untuk memulakan sendiri siasatan, walaupun tidak menerima sebarang aduan;
- IPCMC hendaklah mempunyai kuasa mengarahkan PDRM atau agensi lain untuk mengemukakan apa-apa dokumen atau item yang mempunyai kaitan dengan kes untuk pemeriksaan;
- IPCMC hendaklah mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan mendengar testimoni bersumpah;
- IPCMC hendaklah mempunyai kuasa untuk memasuki dan memeriksa mana-mana premis yang diduduki atau digunakan oleh badan-badan awam atau berkanun;
- IPCMC boleh, selepas mendapati seseorang pegawai polis bersalah di atas salah laku atau kesalahan lain seperti mana yang dinyatakan dalam Akta IPCMC mengambil tindakan yang bersesuaian termasuklah dibebaskan dengan amaran keras, penahanan terhadap elaun dan kenaikan gaji, penurunan pangkat, denda atau ditamatkan perkhidmatan. Keputusan IPCMC adalah muktamad dan tidak boleh dirayu;
- Mengarahkan agar aduan disiasat oleh PDRM. PDRM akan mengemukakan hasil siasatan dan cadangan kepada IPCMC untuk keputusan. IPCMC mempunyai hak untuk mengarahkan siasatan semula dan mengambil alih siasatan tersebut pada bila-bila masa.

Polemik sekitar penubuhan IPCMC ini memerlukan perbahasan lanjut, yang melihat isu ini dari segenap sudut, dan diharap ada idea-idea baru mengenainya untuk kepentingan bersama, tidak terkecuali usaha pihak polis sendiri untuk mempertingkatkan integriti mereka yang diserang kiri dan kanan, sewaktu ramai beranggapan mereka hanya merupakan alat dan perkakas pemerintah untuk mengekalkan kuasa.

Kerajaan BN juga dilihat tidak berani berdepan ugutan atau kata dua pihak polis ini kerana selama ini pun, yang bersedia mempertahankan BN di barisan utama adalah pihak polis. Beranikah BN membuang tongkat sakti itu?

No comments: