Saturday, March 15, 2008

Kerajaan Gagal Jaga Kepentingan Rakyat 4(Datin Seri Wan Azizah Binti Wan Ismail)

Isu Alam Sekitar

Kemusnahan alam sekitar yang berpunca dari pembangunan yang tidak terancang telah menyebabkan kerugian dari segi kewangan yang dialami oleh masyarakat dan juga negara. Kemusnahan ini termasuklah kemusnahan harta benda yang terpaksa diperbaiki ataupun diberi ganti rugi, merendahkan/mengurangkan kualiti tanah.

Tanah tidak boleh lagi digunakan untuk tujuan pertanian, mengancam
kehidupan puluhan ribu golongan petani, kemusnahan hidupan laut dan tumbuhan
bakau sama ada sengaja atau tidak yang telah mengancam bekalan ikan untuk
keperluan rakyat, di samping menyebabkan hakisan pantai. Ia mengancam sumber
pendapatan para nelayan, mengurangkan sumber makanan tempatan dan menjamu
rakyat dengan pertambahan kos mengimport makanan dari negara jiran.

Para petani dan nelayan merupakan golongan yang telah sedia miskin, ditambah
pula dengan bencana yang dicipta sendiri oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
menyebabkan golongan ini lebih tertindas. Pihak kerajaan pula terpaksa mengeluarkan
sejumlah besar peruntukan sebagai membantu keluarga-keluarga ini. Kemusnahan
pelbagai sumber semula jadi yang banyak menyumbang dalam aktiviti perdagangan dan
mewujudkan peluang-peluang pekerjaan menjejaskan kehidupan mereka ini.
Kemusnahan sumber kajian terutamanya, kajian dari segi perubatan seperti flora dan
fauna yang terdapat di hutan, dari apa yang telah terjadi dewasa ini jika tiada kesedaran, maka kemusnahan ini akan terus berlaku dan sumber-sumber kajian semestinya terhapus sebelum ditemui oleh para pengkaji.

Pihak berwajib seharusnya menghalang individu-individu yang hanya
mementingkan keuntungan tanpa mengambil kira kebajikan dan kepentingan pihak lain
termasuk alam sekitar daripada terus menceroboh dan memusnahkan khazanah
kebanggaan negara, sekali gus mengancam kepesatan ekonomi negara.
Pembangunan seharusnya dirancang dengan bersistem untuk memastikan keperluan
dan kehendak, berjalan seiringan.

Telah dibuktikan di mana jua bahawa pemuliharaan alam sekitar yang telah
musnah memakan kos yang sangat tinggi berbeza dengan pemeliharaannya. Oleh
yang demikian, adalah lebih bijak sekiranya kita mengambil jalan memelihara apa yang telah tersedia untuk kita daripada mengeluarkan belanja yang besar untuk memperbaiki keadaan. Sebagai contoh, dalam bulan Februari lepas, Jabatan Perairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan RM21 juta untuk membiayai projek pembersihan Sungai Pinang. Projek ini dijangka siap dalam jangka masa lima belas bulan.

Seperti mana yang diketahui umum negara kita mempunyai lebih banyak lagi
sungai yang telah tercemar. Kita boleh menjangka berapa pula jumlah yang patut
dibelanjakan untuk memulihara sungai-sungai yang telah tercemar ini. Sungai
merupakan sumber utama air di negara kita, sumber penting untuk kegiatan pertanian,
industri dan juga keperluan domestik seperti memasak, mandi, minum dan lain-lain.

Kerajaan Negeri Selangor - Selangor termaju

Kerajaan Negeri Selangor telah bercadang untuk menswastakan pengurusan sungai dan perairan di negeri tersebut namun ia bukanlah cadangan yang bijak kerana penswastaan ini tidak akan dapat membantu dalam menjimatkan perbelanjaan pembiayaan pengurusan sungai, malah ia menuntut kepada kos yang sangat tinggi berbanding pentadbiran yang sedia ada. Rakyat adalah diharapkan lebih bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar, dan ini merupakan satu tuntutan dalam menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa.

Perdagangan balak negara sedang mengalami risiko kerana Malaysia telah
gagal dalam melaksanakan undang-undang pembalakan dengan lebih tegas. Ini telah
menyukarkan pihak penguasa untuk mengekalkan kepercayaan terhadap industri balak
negara. Akhirnya hasil balak dari Malaysia telah diboikot seterusnya telah
memusnahkan perniagaan semua pengusaha termasuk mereka yang sentiasa akur
kepada peraturan dan undang-undang industri pembalakan. Hal ini juga telah
menjejaskan pendapatan negara di mana jumlah cukai yang dikutip semakin
berkurangan.

Setelah memerhatikan beberapa lama proses pembangunan dalam negara, kami
berpendapat bahawa rancangan pembangunan yang tidak teratur, golongan keutamaan
untuk meraih untung besar, amalan rasuah yang meluas dan kecuaian dari segi
pemantau adalah punca utama kerosakan alam sekitar.

Benarkan saya mengambil dua contoh, apa yang berlaku baru-baru ini. Pertama
ialah bau busuk seperti najis dalam air yang dibekalkan ke rumah-rumah di Petaling
Jaya (PJ). Ada pihak yang mengatakan ini akibat paras ammonia yang terlalu tinggi.
Mengapa dan bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Bukankah ia boleh
mengancam kesihatan? Adakah peringatan dan penjelasan awal telah diberi?

Ada pula yang mengatakan bahawa ia disebabkan oleh pelepasan kotoran dari
kilang sawit dan juga tempat ternakan binatang termasuk khinzir yang berdekatan.
Bagaimanakah ini dibenarkan? Tidakkah pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan?
Kedua ialah keadaan banjir kilat yang telah menimpa beberapa tempat di sekitar
Shah Alam. Shah Alam! Ahli Yang Berhormat bagi Shah Alam.

Banjir ini bukan sahaja mengakibatkan kesesakan jalan raya, tetapi lebih serius
lagi kerugian besar mangsa-mangsanya akibat barang-barang yang rosak ataupun
musnah. Bukan sahaja orang yang berpendapatan rendah, bahkan orang yang
berkedudukan tinggi pun menanggung rugi. Ada yang cuba mengatakan banjir
berpunca dari parit tersumbat kerana pembuangan sampah oleh penduduk, ada yang
mendakwa dan ini terbukti tidak tepat, ia disebabkan oleh air pasang yang berlaku
bersama hujan lebat, bahkan ada yang menerangkan ia akibat dari penghakisan tanah
tinggi berdekatan yang dilakukan oleh projek untuk projek perumahan.

Kami mendesak supaya dalam kedua-dua kejadian ini, siasatan yang bebas
serta bertanggungjawab dilakukan. Punca sebenar mestilah dicari, langkah-langkah
berkesan mesti diambil supaya dapat di hindar daripada berlaku lagi pada masa-masa
yang hadapan. Rakyat sudah bosan mendengar keterangan-keterangan yang
bertentangan dan juga tuduh menuduh di antara kementerian, Kerajaan Pusat, Exco,
kerajaan tempatan dan badan-badan tertentu. Kami bukan mahu mencari salah, kami
cuma mahu supaya kerajaan benar-benar prihatin tentang soal penjagaan alam sekitar
supaya rakyat tidak menderita.

Tahanan di bawah ISA

Saya saran ini kepada semua kerajaan yang bertanggungjawab. Tetapi Kerajaan Negeri
Kelantan kalau dahulunya menang di Terengganu, ditarik balik itu bukan. Tidak acilah macam itu, tidak boleh. Kalau ada dan mempunyai, kerajaan itu mesti diberikan apa yang sepatutnya mereka dapat dan baru itu dinilaikan seperti mana kami juga wakil rakyat pembangkang tidak diberi peruntukan. Selepas itu kata kita tidak tahu membuat kerja. Itu tidak adil. ISA, tahanan di bawah Internal Security Act. ISA merupakan satu medium kejahatan yang diguna pakai untuk menindas mana-mana pihak yang membantah sekali gus melumpuhkan barisan pertahanan parti pembangkang di negara ini.

Peristiwa 11 September boleh diibaratkan sebagai alasan untuk pihak kerajaan
menjadikan ISA sebagai hukuman bagi merealisasikan harapan dunia dalam memerangi
keganasan. Di Mahkamah Indonesia beberapa individu telah dijatuhkan hukuman atas
dakwaan merancang dan melakukan serangan keganasan. Segala tindakan dan
hukuman yang dijatuhkan atas pesalah-pesalah ini adalah berdasarkan bukti. Namun,
apa yang kita alami di negara Malaysia yang tercinta ini berlainan pula halnya.
Terdapat individu-individu ditahan di bawah ISA atas dakwaan menjadi ejen gerakan keganasan walaupun rakyat Malaysia tidak pernah mengalami serangan-serangan seperti mana yang dialami oleh rakyat Indonesia.

Kerajaan Malaysia sebaliknya telah menahan individu-individu ini selama empat
tahun dan sesetengahnya ada yang lebih tanpa mendatangkan apa-apa bukti untuk
menyabitkan mereka dalam kes keganasan yang tidak pernah henti digembargemburkan.

Saya menyatakan hal ini kerana sekiranya mereka benar-benar didapati
bersalah bersama bukti, sudah tentu individu ini telah pun dibicarakan di mahkamah.
Empat tahun merupakan masa yang cukup lama untuk pihak kerajaan menjalankan
siasatan sama ada mereka benar-benar merupakan perisik pengganas atau sebaliknya.
Penahanan untuk jangka masa yang panjang ini boleh kita namakan sebagai
ketidakadilan dan lebih tepat lagi kekejaman kepada individu yang ditahan, sekali gus keluarga mangsa tahanan. Mereka ini ada anak, mereka ini ada isteri, ada keluarga, ditahan tanpa bukti, kadang-kadang hendak bertemu susah, dan hidup mereka mestilah dilihat sebagai warganegara Malaysia juga. Sama, semua mesti diberi pembelaan. Jika salah, bicarakan. Kalau tidak, bebaskan.

Setuju dengan tanggapan pihak luar di mana Malaysia merupakan salah satu destinasi persembunyian agen pengganas antarabangsa. Kerajaan Malaysia tanpa menoleh lagi telah menyahut malah menyokong kenyataan ini. Dengan memerangi pengganas menggunakan ISA demi menterjemahkan bahawa negara Malaysia benar-benar memerangi keganasan. Sampai bila kita harus terus mengikut arus pemikiran barat terutamanya, Amerika Syarikat dalam isu keganasan ini.

Sudahlah kita bukan lagi dianggap sebagai negara Islam, malah kita bakal
menjadi sebuah negara yang mudah mengalah, mudah menurut perintah dan lebih
buruk lagi mudah dijajah. Bukankah lebih baik jika pihak kerajaan mengambil perhatian serius terhadap kebajikan dan kekebalan suara rakyat daripada menjadikan rakyat sendiri mangsa kepada propaganda politik pihak luar.

Pusat tahanan Guantanamo Bay ang terdapat di Amerika Syarikat semakin hari semakin terkenal dengan kekejamannya. Pihak umum tidak sekali-kali dibenarkan untuk mengetahui mahupun menjejaki apa yang dilakukan terhadap tahanan. Baru-baru ini Perdana Menteri kita telah bersama-sama menyertai satu rundingan berkenaan dengan pusat tahanan Guantanamo Bay. Dalam ucapan beliau telah membuktikan bahawa penghunipenghuni pusat ini telah diberi tekanan berat dan menyarankan kepada pihak kerajaan Amerika Syarikat untuk menghentikan operasinya. Tindakan yang dilakukan oleh Perdana Menteri sememangnya patut dipuji.

Namun, alangkah cantiknya jika cadangan berani ini dikemukakan kepada pusat
tahanan Kemunting yang terdapat di negara kita sendiri di mana tidak dapat disangkal lagi terdapat terlalu banyak persamaan dengan pusat tahanan Guantanamo Bay di mana semua tahanan ditahan secara rambang tanpa bukti dan usul periksa. Dihukum sewenang-wenangnya tanpa perbicaraan, diberikan tekanan fizikal dan mental, ditahan di tempat yang bersembunyi dan tidak boleh dimasuki oleh orang awam. Jadi tahanan ISA kita di mana isterinya tidak boleh keluar mencari nafkah sampai merempat. Bukan ini kerajaan yang prihatin. Kalau suaminya salah, hadapkan ke mahkamah, carikan bukti. Empat tahun lama. Janganlah kita zalim terutama kepada rakyat kita sendiri.

Saya kata bahawa Guantanamo Bay itu kita complain atau kita
mengecam, sama juga dengan ISA kita. Itu yang point saya. Kalau hendak katakan
mereka itu pengganas, empat tahun tidak ada lagi bukti menghadapkan mereka ke
mahkamah. Cari betul-betul. Memang saya faham bahawa kita ada masalah ataupun
concern security. Ya, di negara kita yang dikatakan aman, damai semua ini tangkap.
Yang Berhormat tidak kena.

Sekali lagi wanita seluruh dunia, menyambut Hari Wanita
Sedunia pada 8 Mac yang lalu. Hari tersebut memberi peluang bagi dunia meraikan
kejayaan yang telah dicapai. Bagi hak persamaan dunia dan bagi menilai cabaran-cabaran yang masih ada. Hak istimewa itu juga memberi peluang menimbang langkah-langkah membawa kepada hak persamaan bagi wanita dalam segala kepelbagaiannya.

Walaupun Perlembagaan telah mengiktiraf gender sebagai perkara yang tidak
wajar dijadikan faktor diskriminasi, jurang masih wujud antara undang-undang dan realiti kehidupan wanita. Banyak isu-isu lepas seperti keganasan, kemiskinan dan
perdagangan wanita belum diselesaikan. Dan hari ini, semakin ramai wanita bersama
dalam pasaran pekerja menjaga keluarga dan terlibat dalam komuniti
masing-masing. Namun, halangan�halangan masih wujud. Halangan-halangan ini
membuatkan wanita tidak dapat mencapai potensi yang ada dalam diri mereka.

Sebagai sebuah kerajaan yang mengaku mengamalkan demokrasi, kredibiliti
sistem politik Malaysia bergantung kepada asas, sama ada kepentingan rakyat Malaysia diwakili oleh wakil-wakil yang dipilih. Adakah situasi 9%, tiga menteri wanita daripada 32, wanita dalam Kabinet, atau 7%, 16 ahli Parlimen wanita daripada 219. Wakil wanita dalam Dewan Rakyat mewakili 54% jumlah penduduk yang merupakan wanita. Peratusan yang rendah itu sudah tentu tidak dapat mewakili kepentingan dan
kepelbagaian wanita, dan keperluan serta kebimbangan mereka.

Ini jelas dapat dilihat dalam proses meluluskan pindaan Rang Undang-Undang
keluarga Islam 2005 dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Mungkin ada yang
bertanya, apakah nilai tambah yang wanita boleh beri kepada proses politik? Dan
mengapa ahli politik lelaki tidak boleh mewakili wanita seperti mana wakil wanita?
Sebagai contoh, di Amerika Syarikat. Pengamal undang-undang wanita lebih
cenderung kepada isu-isu wanita dan berkaitan keluarga dan kanak-kanak.

Terdapat consensus umum kalangan pakar-pakar bahawa ia memerlukan satu
critical mass wanita untuk membawa kesan perubahan yang ketara. Peratusan bagi
critical mass tersebut ialah sekurang-kurangnya 40% perwakilan wanita. Pada kadar
yang sedia ada, critical mass ini mungkin akan mengambil lebih 200 tahun lagi bagi ia menjadi kenyataan.

Saya ingin mencadangkan agar perkembangan hak persamaan wanita dipantau
dengan dekat dan mencapai ke sasarannya melalui gender mainstreaming.
�Mengarusperdanakan� gender terhadap segala polisi-polisi yang digubal. Dalam
bahasa mudahnya bermakna, meletakkan perspektif hak persamaan gender di dalam
polisi-polisi arus perdana. Peluang memang dibuka kepada semua tetapi ia mungkin
sukar bagi semua mendapat peluang tersebut secara saksama.

Konsep ini sebenarnya mengiktiraf bahawa tidak semua kumpulan atau individuindividu
dalam masyarakat mendapat akses yang sama dalam merebut peluangpeluang
yang ada. Bagi memastikan semua kumpulan mendapat akses secara
saksama terhadap perkhidmatan dan kemudahan, polisi-polisi utama perlu mengambil
kira akan perbezaan kemampuan wanita dan lelaki mendapat akses kepada kemudahan
yang disediakan oleh polisi utama. Statistik akan menunjukkan bahawa wanita dan
lelaki tidak mengakses perkhidmatan dan kemudahan dengan kadar atau cara yang
sama. Sebagai contoh, jika di bandar-bandar, 63% lelaki mempunyai lesen memandu
berbanding dengan 46% wanita.

Ini bermakna, wanita lebih bergantung kepada pengangkutan awam berbanding
lelaki. Mereka akan menaiki pengangkutan awam ke hospital, sekolah, kedai-kedai dan
lain-lain tempat. Lihat dari perspektif persamaan gender dalam polisi pengangkutan
awam, bermakna mempertimbangkan penyediaan pengangkutan awam bukan untuk
tempat kerja sahaja tetapi juga untuk ke tempat lain-lain untuk kemudahan awam yang
akan dilawati oleh wanita serta mengambil kira ciri-ciri keselamatan bagi wanita.
Sungguhpun banyak seruan pada persamaan gender telah dibuat, wanita masih ketara.
Sangat sedikit diwakili dalam kerajaan, parti-parti politik dan lain-lain institusi.

No comments: