Saturday, March 15, 2008

Kerajaan Gagal Jaga Kepentingan Rakyat 1(Datin Seri Wan Azizah Binti Wan Ismail)

Kerajaan Barisan Nasional baru-baru ini sekali lagi menaikkan harga minyak iaitu bagi kali yang kelima dalam tempoh kurang dari tiga tahun. Pada 1 Mac 2003, harga seliter petrol hanya RM1.35 sahaja tetapi hari ini berharga RM1.92 seliter atau naik sebanyak 59 sen. Manakala harga diesel pula telah naik sebanyak 70 sen dalam tempoh yang sama.

Kenaikan harga petrol akan secara automatik menyebabkan kenaikan kos
perbelanjaan bagi rakyat. Kita mengetahui bahawa rakyat sedang terbeban akibat
daripada keadaan inflasi yang kian meningkat. Dalam bahasa yang mudah akibat
daripada kenaikan harga petrol, harga barang-barang keperluan harian akan
melambung. Yang paling teruk menanggung beban inflasi ini ialah rakyat, khususnya
golongan petani dan golongan berpendapatan rendah.

Amaran kerajaan agar peniaga tidak menaikkan harga barangan langsung tidak
mempunyai kesan kerana jika amaran itu berkesan maka tidak adalah naik harga
barang-barang ketika kenaikan petrol yang terdahulu. Peniaga amat maklum dan
berpendapat jika kerajaan boleh dengan sesuka hati menaikkan harga petrol maka
mereka juga bebas membuat perkara yang sama. Malangnya yang menjadi mangsa
ialah rakyat.

Apa yang sudah terjadi dengan rancangan �Inflasi Sifar� yang dilaung-laungkan
oleh kerajaan pada suatu ketika dahulu? Menurut maklumat yang terdapat di dalam
Rancangan Malaysia Kelapan, 25% keluarga di Malaysia mempunyai jumlah
pendapatan bulanan keluarga di bawah RM1 ribu. Ini adalah satu keluarga bukan
seorang. Dan, hampir 60% keluarga Malaysia mempunyai jumlah pendapatan bulanan
kurang daripada RM2 ribu. Beban inflasi terhadap keluarga-keluarga yang
berpendapatan rendah dan sederhana makin berat. Dengan kadar inflasi sebanyak
2.8% seperti yang diumumkan Bank Negara pada Disember tahun lalu telah
membuktikan bahawa kuasa membeli rakyat semakin merosot. Kalau dulu nilai RM1,
sekarang ini hanya 70 sen.

Kenaikan harga petrol ini akan berlaku jika kenaikan harga petrol ini tidak akan
berlaku jika kerajaan mempunyai dasar pengurusan yang berhemah serta berjiwa
rakyat. Contohnya, di antara 2002 hingga 2005, Kementerian Pertahanan telah
membelanjakan tidak kurang daripada USD4 bilion untuk membeli senjata dan
keperluan military seperti kapal selam, helikopter, kereta kebal, jet dan sebagainya sehinggakan Malaysia menjadi antara negara yang paling banyak berbelanja kepada pertahanan.

Tahun 2003 Malaysia membeli 18 buah Sukhoi dengan harga USD900 juta. Pada tahun 1999, Malaysia telah membelanjakan 2.3% daripada GDP kita untuk tujuan military. Manakala pada tahun 2002 ia telah ditingkatkan kepada 3.6% GDP. Jumlah ini merupakan jumlah yang sangat besar untuk dibelanjakan bagi pertahanan negara, padahal kerajaan kerap meminta rakyat bersyukur kerana Malaysia adalah sebuah
negara yang aman dan makmur.

Perbelanjaan yang berbilion-bilion ringgit ini untuk pertahanan akan membawa faedah yang lebih besar kepada rakyat jika kerajaan menggunakannya untuk pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat. Kesulitan yang dihadapi oleh rakyat hari ini juga disebabkan beberapa dasar pembangunan kerajaan yang salah haluan. Pemimpin-pemimpin kerajaan asyik menyebut supaya rakyat mengubah cara hidup. Sebenarnya cara hidup yang dilalui oleh rakyat hari ini adalah akibat dari dasar-dasar kerajaan pada masa yang lalu. Rakyat terpaksa menggunakan kenderaan persendirian kerana Dasar Automotif Nasional. Ini kerana kerajaan mahu menggalakkan konsep pemilikan kereta sendiri melalui pemasaran kereta nasional
keluaran Proton.

Sekarang ini nasib Proton dan penasihatnya semakin tenat. Jika kerajaan hendak memperbaiki pengangkutan awam, maka penyelarasan hendaklah dibuat dengan pelaksanaan dasar automatif yang baru. Sebahagian besar rakyat hari ini bergantung kepada kenderaan persendirian di mana kosnya akan melonjak naik apabila naiknya harga petrol.

Sekiranya kerajaan tidak memasuki industri automotif, sebaliknya melabur dalam pembangunan prasarana pengangkutan awam, kenaikan harga petrol tidak mempunyai kesan besar kepada rakyat biasa. Jika kita ingin menjadikan Malaysia sebuah negara maju, maka kita perlu membangunkan prasarana pengangkutan awam yang berkesan seperti mana negara-negara maju di Barat dan Timur.

Oleh itu saya kesal dengan kenyataan Perdana Menteri yang ingin mempertahankan Proton tanpa terlebih dahulu membuat kajian yang komprehensif dan menyeluruh terhadap keberkesanan industri automotif negara dan daya saing di pasaran dunia. Kerajaan perlu meneliti beberapa isu yang menuntut pemimpin kembali kepada persoalan isu pokok. Malangnya yang berkumandang sekarang bukan seruan dan kesedaran untuk kembali kepada matlamat asal dasar pembangunan negara, yang terdengar cuma rengek merengek kerana tidak turut sama diberi peluang untuk memunggah kekayaan negara. Kroni lama gelisah apabila diketepikan oleh kroni baru. Ribut dalam isu lesen pengimport atau AP menjelaskan semua yang selama ini tersembunyi.

Teras pandangan penasihat PROTON yang mahukan PROTON diberikan perlindungan 100 peratus adalah pandangan lapuk yang hanya berlegar di kalangan ahli-ahli ekonomi yang ketinggalan zaman, defame economist dengan izin sahaja. Kes pemberian AP yang terlalu banyak menyebabkan PROTON hilang saiz pasaran dalam negara sebenarnya membuktikan bahawa PROTON masih begitu lemah dan tidak
berdaya saing selepas 22 tahun dan selepas AFTA dilaksanakan biar pun secara berperingkat-peringkat rakyat ingin bertanya, mengapa PROTON masih memerlukan perlindungan sepenuhnya?

Mengapa PROTON masih memerlukan perlindungan sepenuhnya, seperti syarikat berkenaan seakan-akan baru dua tahun ditubuhkan. Rakyat lebih yakin untuk PROTON masuk ke tengah-tengah pasaran terbuka daripada terus berselindung di sebalik payung buruk pemerintah. Dalam kerangka kepentingan ekonomi yang lebih besar, saya tidak mahu hasrat untuk mewujudkan ruang ekonomi yang lebih terbuka
dan bebas di negara ini kembali tersekat atas apa juga alasan.

Saya diberitahu bahawa negara seperti China dan Korea Selatan tidak mempunyai halangan untuk mengizinkan kereta PROTON dijual di negara berkenaan tetapi dalam keadaan begitu terbuka sekali pun, PROTON masih tetap gagal untuk bersaing. Kereta Nasional sejak lebih 3 tahun dahulu terjual tidak lebih daripada 100 buah. Malangnya dasar automatif kerajaan yang dibentangkan kerajaan tahun lalu tidak menjurus kepada pokok persoalan ini. Iaitu dasar automatif ini juga harus diiring dengan proses liberalisasi perdagangan yang sedang berlangsung di seluruh ceruk rantau dunia.

No comments: